Chong Chieng Jen ketika sidang media

KUCHING: Dalam mewujudkan kerajaan yang bersatu-padu, penting untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil bahagian dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Chong Chieng Jen berkata, ia kerana GPS memiliki perwakilan yang paling banyak di Sarawak.

Menjawab soalan wartawan berhubung perdamaian antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan GPS, beliau menyatakan bahawa ia sudah jelas.

“Kita berdamai dan cuba cari persamaan, sekali gus bergerak ke hadapan untuk membina semula negara ini.

“Berhubung kolaborasi pada masa akan datang, kita lihat nanti. Berdamai mengambil masa sedikit, namun saya berharap agar GPS terbuka untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kemudian, kita akan cuba usahakan bersama-sama,” katanya demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Chong menambah, fokus untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dahulu. Bagi peringkat negeri, terserah kepada parti yang memerintah.

“Apa-apapun, bahagian saya adalah untuk menyatakan pendirian dengan jelas bahawa untuk mempunyai kerajaan perpaduan, GPS perlu menjadi sebahagian daripadanya.

Suara Sarawak