KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai atau menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia kerana GPS telah akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan demi mengatasi kemelut politik.

“Kita akur kepada Yang di-Pertuan Agong.

Abang Johari bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.

“Apa yang berlaku sekarang, Perdana Menteri baru sahaja mengangkat sumpah dan selalunya pembentukan kerajaan adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

“Sudah tentu kerajaan baharu ini mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang dan Ketua Whip GPS yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ditanya sama ada GPS meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah Kerajaan Persekutuan baharu itu, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata perkara itu masih dipertimbangkan.

“Kita lihatlah, sebab kalau dibandingkan kami (GPS) adalah blok terbesar dengan 23 Ahli Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun ditanya adakah jumlah kerusi mencukupi dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan itu tanpa sokongan GPS, beliau berkata tidak tahu, sambil menjelaskan GPS hanya akur kepada titah Agong.

Dalam pada itu, Abang Johari tidak menafikan ada dihubungi oleh Anwar termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi enggan mendedah lanjut mengenainya.

“Adalah, saya tidak perlu beritahu anda,” katanya.

Suara Sarawak