KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan hati terbuka dan jiwa yang besar.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia kerana kepimpinan tertinggi parti itu mengakui kesilapan mereka sebelum ini.

“Yang penting mereka (DAP) mohon maaf dan mengakui kesilapan tersebut. Mereka turut menyeru agar kita memulakan lembaran baharu.

“Bagaimanapun, mereka juga perlu menghormati Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GPS, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari tidak mendedahkan mengenai permintaan lain daripada DAP semasa menerima kunjungan hormat Setiausaha Agungnya Anthony Loke di kediamannya pagi tadi.

Malah, beliau menafikan Loke ada mengajak GPS untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Mereka hanya datang untuk memohon maaf. Namun, sudah tentu mereka sedia ketahui jumlah kerusi yang kita peroleh agak besar,” jelasnya.

Suara Sarawak