Lim Guan Eng

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng turut memohon maaf kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya memohon maaf atas teguran saya yang mungkin menyinggung perasaan Premier Sarawak dan kerajaan GPS.

“Masa depan negara lebih penting. Marilah kita membuat permulaan baru untuk bekerjasama memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya serta melindungi Perlembagaan Persekutuan kita untuk manfaat semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng ketika menjadi Menteri Kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang jika terus di bawah kepimpinan GPS.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook memohon maaf bagi pihak parti itu kepada GPS.

Permohonan maaf itu dinyatakannya kepada Abang Johari ketika membuat kunjungan hormat kepada Pengerusi GPS itu, hari ini.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra.

“Saya telah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Suara Sarawak