Karim semasa montaj pelancaran jurnal “International of Business Event and Legacies” bersama-sama Prof Andreas Zins dan Amelia Roziman di Kuching, hari ini.

KUCHING: Usaha memperkasakan sektor pelancongan Sarawak akan terus dilaksanakan secara berfasa termasuk menerusi pendekatan pelancongan pintar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak sememangnya telah mengadaptasikan kaedah tersebut terutama dalam menyahut saranan ekonomi digital.

“Sebagai contoh, jika hendak membeli tiket dan sebagainya, kita tidak perlu berbaris di kaunter, semuanya dilakukan hanya menggunakan telefon pintar.

“Begitu juga kalau hendak melancong ke sesuatu tempat, sudah tentu kita akan mencari maklumat mengenai tempat-tempat menarik sebelum pergi,” katanya.

Secara tidak langsung, Sarawak katanya sudah mengadaptasikan era digitalisasi dalam sektor pelancongannya walaupun secara perlahan untuk ke fasa tersebut.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif BESARAWAK Amelia Roziman berkata pelancongan pintar telah dimulakan secara aktif dalam penganjuran acara perniagaan menerusi forum atau persidangan secara maya.

Sebelum ini katanya, persidangan antarabangsa diadakan secara bersemuka namun apabila pandemik Covid-19 menular acara yang biasa diadakan itu tidak dapat dilaksanakan.

Katanya usaha itu harus diteruskan walaupun kebanyakan peserta lebih gemar untuk mengadakan persidangan atau program pelancongan secara bersemuka berbanding atas talian.

Suara Sarawak