LICIK…Ahsmon menunjukkan peralatan yang digunakan oleh Kumpulan Ah Ann untuk mencuri kereta pacuan empat roda.

KUCHING: Kumpulan Ah Ann, aktif mencuri kereta pacuan empat roda sejak awal tahun ini merupakan sindiket yang keenam berjaya ditumpas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching tahun ini.

Tiga ahli kumpulan tersebut ditangkap pada 25 Oktober lalu oleh pasukan khas menerusi Op Bersepadu sementara dua lagi ahli kumpulan masih bebas.

Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah berkata, ketiga-tiga suspek dalam lingkungan umur 29 hingga 41 tahun dan kesemuanya mempunyai 50 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah harta benda.

Katanya, kesemua suspek juga bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan 1959 (POCA) yang baharu dibebaskan tahun lalu.

“Modus operandi kumpulan ini mencuri kenderaan pacuan empat roda di kawasan Kuching dan daerah lain.

“Kumpulan ini menggunakan peralatan khas yang dibawa semasa melakukan jenayah iaitu ‘jammer dan bypass’ sistem keselamatan termasuk GPS yang dipasang pada kereta pacuan empat roda.

“Selain turut menggunakan beberapa peralatan yang diubah suai untuk membuka kereta dan menghidupkan enjin,” katanya dalam sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Ahsmon berkata, kenderaan yang dicuri dijual sehingga RM50,000 bergantung kepada jenis kereta dan turut melibatkan pasaran negara jiran.

Katanya, dengan tangkapan ini, sebanyak sembilan kes kecurian kenderaan pacuan empat roda telah diselesaikan melibatkan daerah ini dan daerah lain.

“Jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah oleh sindiket ini dianggarkan rm700,000,” jelasnya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 382A.

Katanya, jika disabit kesalahan membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda.

RAMPAS…Kenderaan yang dicuri dan digunakan oleh Kumpulan Ah Ann.

Suara Sarawak