KUCHING: Penganalisis politik, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal optimis Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya ia berdasarkan pengakuan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan telah berjumpa dengan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Masalah yang mungkin dihadapi oleh GPS ialah bekerjasama dengan PAS sebab ideologi GPS tidak sama dengan PAS.

“Tetapi dengan adanya PN, dan saya juga menjangkakan Barisan Nasional (BN) juga ada sekali maka ini akan memberi keseimbangan dan membolehkan GPS untuk lebih selesa bertukar idea,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

Selain itu, faktor lain yang mendorong kerjasama GPS dengan PN ialah pendirian GPS untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Saya melihat Abang Johari tidak selesa dengan PH terutama DAP.

“Jadi kemungkinan besar GPS akan menyokong PN, lebih-lebih lagi mereka mempunyai sejarah bekerjasama dalam kerajaan sebelum ini,” katanya.

Sementara, Ammar menyifatkan kemenangan GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai lebih baik, cuma tidak terlalu cemerlang.

Katanya berbeza seperti Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada Disember 2021, kecemerlangan GPS pada masa itu sedikit pudar dalam PRU-15 yang menyaksikan DAP mampu mempertahankan sebahagian besar kerusinya, dengan hanya tewas di Parlimen Sarikei.

“Dalam konteks ini, pengundi di Sarawak membuat dua pilihan contohnya waktu PRN-12 mereka mengundi GPS tetapi PRU-15 undi DAP.

“Saya rasa ada beberapa faktor yang memainkan peranan dengan antaranya pengundi tidak mahu GPS bekerjasama dengan BN disebabkan kes kluster mahkamah dan ini telah menakutkan pengundi untuk mengundi GPS terutama pengundi Cina,” katanya.

Manakala mengulas mengenai sokongan ke atas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang menyaksikan kedua-dua parti itu seakan-akan tidak diterima lagi di Sarawak, Ammar berkata ia mungkin atas faktor tiada keyakinan kepada parti-parti itu.

“Mungkin pengundi masih lagi 50/50 dengan PKR manakala bagi PSB, mungkin mereka merasakan parti itu tidak mampu membawa suara Sarawak ke peringkat persekutuan.

“Mungkin juga mereka risau PSB akan bergabung dengan GPS kerana GPS menyokong BN,” katanya.

Mengenai kemenangan Datuk Larry Sng Wei Shien di Parlimen Julau, beliau percaya ia atas faktor Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Kalau dilihat, Larry tidak ada tekanan sebab beliau bertanding bukan bertujuan membentuk kerajaan tetapi cuma ingin menjadi wakil rakyat.

“Jadi dengan mengundi Larry tidak akan memberi kesan dan mungkin sebab itu masyarakat setempat memberi maklum balas yang baik kepadanya untuk mewakili suara mereka di Parlimen,” katanya.

Suara Sarawak