MUKAH: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib menyatakan komitmen beliau akan bertemu dengan rakyat dari semua penjuru semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ia bagi memastikan rakyat mengetahui segala inisiatif pasca Covid-19 dan manifesto yang diperjuangkan dan diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak yang diterajui GPS

Jelasnya, sebagaimana yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini berhubung rancangan pembangunan harus diperjelaskan sebaiknya.

“Selain kita juga pastikan bahawa kita akan turun padang agar kita dapat mengetahui lebih rapat dan secara mendalam keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses Penamaan Calon P213 Mukah di Menara Pehin Setiaraja Mukah hari ini.

Malah katanya, keputusan pilihan raya umum pada kali ini pastinya akan ditentukan oleh rakyat.

“Kepada pihak lawan, kita mengucapkan selamat maju jaya, dan yang terbaik buat masa ini ialah penentuan ialah di tangan rakyat,” kata lagi.

Melihat kepada pelan perancangan masa depan Mukah untuk tempoh ini katanya sebagaimana yang diumumkan oleh Premier iaitu berhubung Agensi Pembangunan Delta Rajang (Radda).

“Semua Adun dan Ahli Parlimen yang terlibat akan berbincang bersama untuk mempersetujui penambahbaikan perkhidmatan industri yang ingin kita masukkan sama ada melibatkan pelancongan, digital ekonomi, dan inisiatif yang ditekankan Premier sebelum ini.

“Teknologi ialah benda baru yang mesti difahami secara mendalam.

“Kita akan lihat apa yang bersesuaian dengan Mukah, dan Sarawak ini juga begitu unik, dari bentuk muka buminya, kita akan lihat industri apa yang bersesuaian untuk dibawa ke Mukah,” katanya lagi.

Pada kali ini Parlimen Mukah menyaksikan pertembungan dua penjuru antara GPS yang diwakili oleh Dato Hanifah Hajar Taib dan Pakatan Harapan oleh Abdul Jalil Bujang.

Ini merupakan kali kedua pertemuan mereka yang mana kali pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 lalu.

Pada tahun 2018, Hanifah menang dengan 13,853 undi dengan 7,000 undi majoriti mengalahkan Jalil yang mendapat 6,853 undi pada ketika itu.

Suara Sarawak