Fazzrudin Abdul Rahman FOTO: Alief Noni

KUCHING: Pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman demi kepentingan politik masing-masing perlu dihentikan, kata Fazzrudin Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Adun Tupong itu berkata, sentimen tersebut perlu dihentikan kerana boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Sentimen perkauman sebagai modal politik sangat berbahaya terhadap keharmonian yang sedia ada dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, kita perlu bersama-sama untuk memastikan perpaduan yang wujud di negeri Sarawak ini dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Tegasnya lagi, semua pihak perlu berusaha untuk memastikan keharmonian di negeri ini sentiasa dipelihara.

“Tindakan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam mengapi-apikan sentimen ini boleh menimbulkan lebih banyak perkara yang tidak diingini berlaku.

“Oleh itu, saya ingin menyeru sekali lagi agar pihak-pihak ini berhenti mainkan isu sedemikian demi masa depan anak-anak kita,” ujarnya.

Suara Sarawak