KUCHING: Kerajaan Sarawak menyedari potensi yang boleh diterokai daripada industri halal melibatkan seluruh rakyat terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau difahamkan Majlis Islam Sarawak (MIS) telah merangka dan merancang hala tuju yang strategik bagi memperkasakan pengurusan halal di Sarawak.

“Ia termasuk mengeluarkan Surat Perakuan Halal MIS untuk mengembangkan ekonomi industri halal saiz mikro,” katanya.

SIMBOLIK.. Hasidah mewakili Abang Johari menyempurnakan perasmian Program Inisiatif Bajet 2022  sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022 di Kuching, hari ini ( Foto :Alif Noni )

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Menteri Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada perasmian Program Inisiatif Bajet 2022  sempena Program Jelajah Halal Malaysia 2022 di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di sini, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 746 premis di Sarawak juga telah mendapat pengiktirafan sijil halal setakat Ogos tahun ini.

“Perkara tersebut akan membantu menarik lebih banyak pelancong dari negara Timur Tengah ke Sarawak dan juga pelaburan mesra Muslim.

“Mengenai sijil halal ini, saya berharap MIS akan menjalinkan kerjasama lebih erat bersama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) untuk memastikan perusahaan yang mahu meneroka industri tersebut dapat direalisasikan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, sijil halal Malaysia dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk di negara maju yang terkenal dengan dasar amat ketat dalam hal pengimportan barang-barang makanan seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, New Zealand, Australia dan banyak lagi.

“Ini merupakan satu penghormatan besar kepada negara dan saya difahamkan terdapat beberapa negara seperti Vietnam, Kemboja, Indonesia, Thailand, Arab Saudi, Rusia, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan juga ingin mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia di peringkat global untuk membentuk pembangunan rangka ekosistem industri halal,” jelasnya.

Suara Sarawak