Penyokong GPS Serian melaungkan slogan “Sarawak First” semasa pelancaran Pelancaran Jentera GPS P.199 Serian di Kampung Pichin di sini.

SERIAN: Hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengutamakan dan menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak.

Calon GPS di Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem menegaskan beliau tidak mahu parti asing mewakili kampung halamannya.

“Kami mahu bersatu supaya hak kami yang telah kami perjuang dan tuntut akan direalisasikan. Ini tanah kami.

“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, dengan 19 kerusi (empat komponen bersama Barisan Nasional) GPS telah mencapai banyak kejayaan di peringkat parlimen khususnya melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jadi, jika kita boleh bersatu bersama-sama untuk memenangi 31 kerusi ini, saya rasa kita boleh menaikkan Malaya,” kata penyandang kerusi Parlimen Serian itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera GPS P.199 Serian di Kampung Pichin di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Adun Tebedu Dr Simon Sinang Bada turut menegaskan GPS adalah tonggak kestabilan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, beliau berkata, penting untuk memastikan GPS di pandang tinggi dan di beri penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada parti pemerintah Malaysia.

Beliau menggesa sokongan padu diberikan kepada GPS semasa PRU-15 akan datang dengan harapan pemimpin GPS di peringkat parlimen dapat meneruskan perjuangan untuk kepentingan rakyat.

“Sejak kerajaan baharu mengambil alih kuasa pada 2018 dan tiga perdana menteri berbeza dipilih, kita telah mengalami kesan ketara.

“Mereka membuat banyak janji tetapi akhirnya banyak projek negeri yang dibatalkan.

“Kepercayaan pelabur asing terhakis di peringkat nasional. Peluang pekerjaan juga terjejas jika mereka tidak melabur di sini.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita memastikan kerajaan yang stabil dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau menjangkakan Richard Riot akan menang besar pada PRU-15.

“Kestabilan kami akan datang apabila kami lebih kuat. Semua rancangan kerajaan boleh dilaksanakan dengan jayanya apabila keadaan semasa stabil.

“Kami mengharapkannya daripada kerajaan akan datang, dan GPS mesti memainkan peranan dalam perkara itu,” kata Martin Ben yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah.

Suara Sarawak