SEBAIK mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak pada 2017, antara dasar pertama diperkenal dan dilaksanakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah ekonomi digital.

Mulanya dipandang remeh oleh sesetengah pihak sehingga ada mengatakan ia sekadar mimpi, tetapi pada hari ini, inisiatif itu begitu jelas menunjukkan kejayaan dan keberkesanannya lebih-lebih lagi dalam mengubah gaya hidup masyarakat di Bumi Kenyalang.

Bukan itu sahaja, ia turut membuka mata negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, bahkan sesetengah negara luar.

Sebagai langkah awal merealisasikan ekonomi digital, Kerajaan Sarawak telah membangunkan S Pay Global (sebelum ini dikenali Sarawak Pay) yang kini menjadi antara inisiatif paling berjaya.

Pendekatan dan dasar ekonomi digital tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya usaha dijalankan untuk mengembangkannya ke kawasan luar bandar dengan agenda menjadikan Sarawak sebagai hab industri berteknologi tinggi.

Setakat Januari tahun ini, platform mudah alih teknologi kewangan itu berkembang pesat dengan mencatatkan 590,290 pengguna berdaftar dan 85,445 peniaga di seluruh negeri, di samping merekodkan transaksi bernilai RM1.8 bilion.

Peningkatan ketara jumlah pengguna S Pay Global, bermula ketika negara dalam tempoh pandemik Covid-19.

Usahawan dan orang ramai lebih memilih transaksi tanpa tunai disebabkan kekangan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

Justeru, visi dan inisiatif Abang Johari itu sangat dipuji, sekali gus memacu hala tuju Sarawak untuk menjadi sebuah wilayah maju menjelang 2030.

Malah melalui S Pay Global, Kerajaan Sarawak turut memanfaatkannya untuk menyalurkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada rakyat ketika tempoh pandemik.

Platform berkenaan juga tersebar luas ke kawasan luar bandar apabila S Pay Global menjalinkan kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan perkhidmatan transaksi dalam talian kepada penduduk menerusi ejen lantikan bank.

Pengguna S Pay Global khususnya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada mana-mana institusi kewangan boleh menerima dan menghantar wang kepada ahli keluarga, rakan dan rakan kongsi perniagaan mereka menerusi mana-mana 236 ejen BSN di negeri ini.

Maka usaha Kerajaan Sarawak melalui penekanan kepada kepentingan ekonomi digital amat tepat pada waktunya, ketika ekonomi dunia mula mengorak langkah ke arah penekanan kepentingan ekonomi digital sebagai sumber pertumbuhan ekonomi abad ini.

Ini dapat dilihat berdasarkan kronologi penubuhan badan dan agensi yang menyokong promosi serta pembangunan ekonomi digital di negeri ini, seperti Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan TVS.

Sehubungan itu, golongan peniaga, termasuk usahawan muda dilihat antara kumpulan yang bakal menerima limpahan positif hasil usaha pendigitalan ekonomi oleh Kerajaan Sarawak.

Ia juga bakal menjadikan Sarawak sebagai antara wilayah terawal di Malaysia yang akan menikmati manfaat limpahan ekonomi daripada kesan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh ekonomi digital pada masa akan datang.

Suara Sarawak