Gambar hiasan

PENGANJURAN pelbagai program pembangunan melibatkan golongan belia penting sebagai pendedahan baharu kepada golongan itu.

Ia bukan sahaja melahirkan modal insan cemerlang tetapi diyakini dapat mengurangkan stigma bahawa golongan muda kurang berpengalaman.

Kebiasaannya, golongan ini sering dipadankan dengan stigma tiada pengalaman, namun hakikatnya, pengalaman itu tidak akan datang kalau ruang dan peluang itu tidak diberikan kepada mereka.

Selari perubahan masa, corak hidup dan pemikiran, rentak kehidupan belia hari ini tidak lagi sama dahulu. Malah, sebahagian besar golongan ini lebih berupaya menguasai dan memahami perubahan serta perkembangan teknologi digital.

Potensi golongan muda wajar dibangunkan melalui pelbagai ruang supaya menjadi individu berkualiti dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

Sebagai generasi bakal mewarisi kepimpinan negara, generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.

Pada masa yang sama, mereka berperanan sebagai penggerak perubahan dan penghubung sumber dalam konteks pembangunan secara berterusan.

Dalam konteks yang berkaitan, kerajaan tidak mengabaikan golongan muda, sebaliknya, sentiasa menyediakan peluang kepada mereka untuk meningkatkan keupayaan diri dalam segenap aspek.

Usaha bersepadu itu termasuk membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan, selain memberi tumpuan terhadap prasarana digital bagi menampung keperluan masa depan generasi ini.

Tidak sekadar itu, mereka turut diberi ruang luas dalam program pembangunan insan yang diyakini mampu mencorakkan minda positif, menyuntik semangat perpaduan dan memotivasikan golongan ini untuk bergiat aktif dalam aktiviti sihat sekaligus menghindar mereka daripada terjebak ke dalam gejala sosial.

 

Malah, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh dan sentiasa meletakkan golongan belia pada kedudukan yang sepatutnya, selaras dengan hasrat untuk melahirkan modal insan cemerlang.

Ini menunjukkan betapa kerajaan tidak mengabaikan golongan ini, sebaliknya sentiasa menghargai peranan dan sumbangan mereka. Kita optimis, kesepaduan belia pelbagai latar belakang yang dipupuk melalui pelbagai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan mampu memberi impak positif kepada pembangunan negara.

Realitinya, masyarakat belia dan anak Sarawak khususnya mempunyai potensi besar untuk maju, ditambah dengan segala kelebihan dari segi kemudahan dan prasarana yang disediakan bagi mereka mempersiapkan diri ke arah itu

Dalam pada itu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilihat melaksana dan menyediakan pelbagai inisiatif serta agenda yang memberi banyak manfaat terutama kepada golongan muda.

Antaranya Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang disifatkan sebagai membantu meringan beban ibu bapa khususnya golongan B40.

Malah melalui Bajet 2023, kerajaan turut meneruskan Inisiatif e-Pemula tahun depan, ditambah baik dengan jumlah kredit e-dompet dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.

Program memberi manfaat kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa berusia 21 tahun ke atas dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Selain itu, bagi menggalak lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman melalui Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

Kesemua inisiatif yang diperkenalkan itu sudah dibentangkan dan bukannya manifesto pilihan raya.

Suara Sarawak