BAU: Projek naik taraf jalan raya berkembar dua hala yang menghubungkan Kuching ke Bau melibatkan kos hampir RM100 juta akan ditender pada April 2023.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sudah meluluskan projek tersebut yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Mengenai permintaan Adun Serembu Miro Simuh untuk mempercepatkan projek naik taraf jalan lama Bau-Kuching kepada dua lorong, ia sudah diluluskan dan tender akan dikeluarkan pada April tahun depan.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang akan melaksanakan pembinaan projek berkenaan. Bermakna dalam tempoh tiga tahun kita akan mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik untuk menghubungkan dan membangunkan antara Bau dan Kuching.

“Kita mesti mempunyai jalan raya yang baik seperti Semenanjung, selain daripada Lebuhraya Pan Borneo,” katanya pada Program Sarawakku Sayang 2022 Bahagian Kuching (Pekan Siniawan) di Pekan Siniawan, Bau, hari ini.

Menurut Abang Johari, dengan adanya infrastruktur yang baik menghubungkan Kuching ke Bau, seterusnya Bau ke Sematan, ia pasti akan membangunkan potensi kawasan tersebut sebagai hab pelancongan.

Sementara itu, Miro dalam ucapannya memohon agar Kerajaan Sarawak mempercepatkan pembinaan naik taraf jalan lama Bau-Kuching kepada dua lorong.

Ujar Miro, keadaan jalan sedia ada yang melalui Pekan Siniawan itu berada dalam kritikal apatah lagi kapasiti pengguna sedia ada melebih 4,000 kenderaan setiap hari.

Suara Sarawak