PADA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), rakyat digesa agar tidak mengulangi keputusan PRU-14 (2018) sehingga memperjudikan nasib negara, yang akibatnya sangat merugikan.

Pengibaratan, janganlah pisang berbuah dua kali, janganlah negara sekali lagi jatuh ke tangan pemerintah seperti kerajaan 22 bulan iaitu Pakatan Harapan (PH).

Semua rakyat merasai kegagalan kerajaan pimpinan PH ketika itu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui mereka gagal menunaikan sebahagian besar manifesto yang menawarkan janji bulan dan bintang.

Manifesto mungkin tidak suci, tetapi ia merupakan ikrar atau janji parti itu untuk rakyat bagi mentadbir negara dan jika tidak dipatuhi bermakna ia sekadar omong kosong PH.

Lebih teruk sepanjang memegang tampuk Kerajaan Persekutuan, banyak projek pembangunan di Sarawak dibatalkan, selain penarikan balik peruntukan.

Namun, Sarawak beruntung mempunyai ketua atau parti yang sanggup meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dibatalkan.

Kata Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, GPS membela nasib Sarawak dengan meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dibatalkan ini menggunakan peruntukan sendiri.

GPS melihat betapa pentingnya pembangunan yang berterusan.

Misalnya pembatalan beberapa projek jambatan seperti kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 10 Disember 2021, seperti projek Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Rambungan.

“Kerajaan Persekutuan terdahulu (ketika itu Barisan Nasional) tidak pernah menangguhkan projek berkenaan yang sepatutnya bermula pada 2018, namun apabila berlaku perubahan kerajaan selepas PRU- 14, ia tidak diteruskan oleh kerajaan PH.

“Malah PH turut membatalkan dua lagi projek jambatan utama di pesisir Sarawak, iaitu Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Rambungan.

“Namun, kedua-dua jambatan tersebut telah diteruskan pembinaannya oleh Kerajaan Sarawak demi memastikan rakyat pesisir tidak terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.

Pengerusi SUPP Cawangan Saribas-Betong yang juga Pengerusi SUPP Subcawangan Pusa Kaunselor Datuk Lim Kian Choon mengakui, tindakan kerajaan PH ketika itu banyak merencatkan pembangunan.

Katanya, cerita duka Sarawak bermula selepas kemenangan PH pada PRU-14.

“Apa tidaknya, mereka begitu taasub membatalkan hampir kesemua projek untuk Sarawak yang telah diluluskan semasa Barisan Nasional dan salah satu yang terpenting ialah Jambatan Batang Lupar.

“Sebagai rakyat, kami amat terkesan kerana ia merencatkan pembangunan sosioekonomi kawasan pesisir,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBB Beting Maro Ramzi Rasit menegaskan, kerajaan PH tidak pernah memikirkan soal rakyat sepanjang 22 bulan.

“Senang cerita, PH hanya berpolitik ibarat membalas dendam dan itulah kegagalan terbesar mereka.

Janji sememangnya tidak pernah ditepati, terutama untuk kaum bumiputera,” tambahnya.

Bagi Setiausaha PBB Cawangan Saribas Mohd Mohiden Hamdan pula, kerajaan PH bukan sahaja gagal menyediakan infrastruktur asas kepada rakyat tetapi dalam banyak hal.

“Subsidi berkaitan pertanian dan nelayan dikurangkan, banyak penjawat awam berstatus kontrak diberhentikan… maknanya dari segi kebajikan rakyat, memang tidak terbela.

“Saya amat berharap menjelang PRU-15, pengundi muda memilih kerajaan yang mampu membela nasib rakyat dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terbela,” katanya.

Suara Sarawak