TIRAI kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini dibuka selepas proses penamaan calon selesai, pagi 5 November lalu.

Sebaik pengisytiharan calon bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selesai dilakukan, aktiviti kempen PRU-15 selama 14 hari bermula secara rasmi hingga 11.59 malam, 18 November nanti.

Sudah pasti ketika kempen berlangsung, jentera parti masing-masing sudah bersedia untuk tujuan tersebut.

Pastinya perang bendera antara parti yang bertanding akan kelihatan. Selain itu, poster calon juga banyak ditampal dan sebagainya. Kalau dahulu kaedah kempen dilakukan hanya secara fizikal atau di lapangan tetapi kini, ia juga dilakukan secara dalam talian.

Ketika ini, kempen dalam talian juga sangat penting kerana pengundian ketika ini melibatkan Undi 18.

Semestinya, teknologi sangat penting.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga kali pertama bertanding di peringkat nasional atas tiket GPS. Jadi, apakah strategi yang akan mereka gunakan?

Bagaimanakah proses kempen akan dilaksanakan?

Pelaksanaan Undi 18 dilihat sebagai peluang GPS mengukuhkan kedudukan sebagai parti pilihan pertama dalam agenda memperjuangkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, PRU-15 bakal dihadapi kali ini lebih mencabar berbanding pilihan raya sebelum ini, susulan kewujudan pengundi berusia 18 tahun.

Ini juga termasuk kumpulan yang tidak pernah mendaftar undi sebelum ini, dan dimasukkan secara automatik sebagai pengundi.

Dalam pada itu, peranan wanita komponen GPS memang tidak dapat dinafikan lagi, kerana ia terbukti sebagai peraih undi terbaik.

Sehubungan itu, Fatimah juga menegaskan sejarah pilihan raya di Sarawak menunjukkan bahawa wanita merupakan peraih undi yang berkesan.

Katanya, kesabaran, ketekunan, kesetiaan dan kecekalan mereka terbukti selama ini, dan tambahan kepada itu sifat kewanitaan mereka mempunyai kelebihan tersendiri bagi meraih undi serta meyakin orang ramai untuk setia bersama-sama GPS – susah dan senang.

Perkara itu juga jelas membuktikan bahawa peranan semasa kempen sangat penting untuk meraih undi. Bagaimana mereka boleh mencuri hari pengundi, tepuk dada tanya selera.

Sehubungan itu, sebagai pengundi yang bijak, kita perlu melihat parti mana patut disokong.

Parti mana yang membuktikan mereka boleh bekerja dan sebagainya. Kita juga mengharapkan kempen dijalankan dengan baik, dan berjalan lancar.

Tiada perkara yang tidak diingini berlaku, jangan terlalu taasub ketika berkempen.

Jadi apakah strategi yang akan digunakan oleh parti yang akan bertanding khususnya di Sarawak? Kita tunggu dan lihat.

Suara Sarawak