KUCHING: Kegagalan fungsi penglihatan (buta) bukan alasan menghalang Muhammad Alwi Tiong, 35, turun mengundi di pusat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sungai Tapang Hilir, pagi tadi.

Individu kelainan upaya (OKU) itu mengakui pertama kali hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Usaha itu katanya, sebagai bukti golongan mereka juga tidak ketinggalan dan tiada alasan untuk tidak turun mengundi pada PRU-15.

“Saya datang sebagai rakyat Malaysia dan dengan rasa tanggungjawab menunaikan semua ini (mengundi),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pusat undi tersebut.

HADIR… Muhammad Alwi Tiong (kiri) gembira dapat hadir mengundi sambil ditemani sahabat beliau, Douglas Goh, 32.

Ditanya bagaimana pergerakan mengundi, Alwi memberitahu pergerakan banyak dibantu oleh kawan karibnya, Douglas Goh, 32, di sepanjang lokasi pengundian.

Menurutnya, mereka boleh membawa pembantu dari kalangan kawan-kawan, adik-beradik atau keluarga terdekat yang dipercayai untuk bersama ketika menjalani proses pembuangan undi.

“Kita memang terlibat (pengundian) cuma kita bawa orang yang kita percaya, mereka akan sekali dengan kita tiada masalah,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Alwi berharap penglibatannya dapat membawa pembentukan kerajaan baharu ke arah yang lebih baik.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengharapkan agar terdapat laluan khas bagi memudahkan golongan seperti mereka untuk menjalani proses undian secara lebih sistematik.

Suara Sarawak