AWANG Tengah menyerahkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada penerima di Kingwood Resort, Mukah.

MUKAH: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan terus komited dan terus merancang untuk melaksanakan kerja pengukuran lot secara individu sehinggalah ke pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada semua pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Menurut Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Emmy Zurina, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui Program Pengukuran Kampung Tradisional dan juga Program Pengukuran Tanah NCR dan usaha tersebut tidak akan berhenti kerana ia merupakan inisiatif yang berterusan.

Katanya setakat 31 Oktober 2022, secara keseluruhannya di Bahagian Mukah terdapat 80 buah kampung asal telah diluluskan untuk diukur di bawah Program Pengukuran Kampung Tradisional.

“Diikuti sebanyak 12,095 lot kediaman telah siap diukur yang 11,272 lot telah dikeluarkan dengan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negara (KTN).

“Manakala melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu pula, secara keseluruhannya di Bahagian Mukah terdapat 56 kawasan telah diluluskan untuk diukur perimeternya yang melibatkan kawasan seluas lebih kurang 19,721.29 hektar atau bersamaan dengan 48,731.31 ekar.

“Ia melibatkan sebanyak 31 kawasan seluas lebih kurang 5,508.41 hektar (13,611.28 ekar) telah siap diwarta sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) menurut Seksyen 6 KTN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) – (Pertanian) Bagi Kawasan Jalan Matadeng Selangau (Area 1) Dan Penyerahan Lesen Pendudukan Sementara SPK Kuala Balingian di Dun Balingian, hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, sebanyak lapan kawasan yang seluas lebih kurang 2,153.04 hektar (5,320.16 ekar) kini dalam proses pewartaan.

“Manakala baki 17 kawasan lagi berada di pelbagai peringkat antaranya lima kawasan telah siap diukur perimeter, dua kawasan kini sedang diukur, tujuh kawasan dalam perancangan untuk diadakan dialog sebelum pengukuran dan tiga kawasan lagi tidak dapat diukur kerana dua daripadanya terlibat dengan bantahan dan satu kawasan terlibat dengan kes mahkamah.

“Daripada 31 kawasan yang telah diwartakan, sebanyak 11 kawasan telah diukur secara individu yang melibatkan sebanyak 2,589 lot termasuklah Kawasan Jalan Matadeng-Selangau (Kawasan 1) yang bakal diserahkan surat hak milik tanahnya pada kali ini.

Mewakili pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak kerana sentiasa memberi kerjasama terutama sekali semasa kerja pengukuran tanah, semasa jadual penuntut tanah dipamer, proses pengeluaran surat hak milik tanah sehinggalah ke majlis penyerahan surat hak milik tanah.

“Terima kasih tak terhingga juga saya ucapkan kepada Adun Balingian Andul Yakub Arbi dan Adun Tellian Royston Valentine yang turut sama banyak membantu kita dalam melaksanakan semua program pengukuran tanah NCR di kawasan masing-masing,” jelasnya lagi.

Dalam majlis itu seramai 222 orang hadir bagi menerima 352 Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Peringkat Kedua Inisiatif Baharu NCR) di Jalan Matedeng Selangay (Area 1) dan 35 penerima bagi Lesen apendusukan Sementara (T.O.I) bagi Skim Pembesaran Kampung Kuala
Balingian.

Majlis penyerahan kepada semua penerima telah sempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Suara Sarawak