KUCHING: ADUN Kabong Mohd Chee Kadir berharap kriteria atau syarat untuk membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di kawasan berkenaan diberikan kelonggaran.

Menurutnya, ia susulan setiap kali permintaan untuk pembinaan BBP di kawasan tersebut, pihaknya sering menerima jawapan bahawa Kabong tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Adakah kerajaan menggunakan kriteria itu untuk menafikan hak rakyat Kabong untuk mendapat sebuah balai bomba?

“Begitu banyak kebakaran yang telah berlaku dan baru-baru ini sebanyak 10 unit rumah kedai musnah dijilat api,” katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN, hari ini.

Justeru, beliau berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbang melonggarkan kriteria untuk membina BBP di Kabong.

Pada masa sama, Mohd Chee turut berharap agar empat projek baharu iaitu Pejabat Daerah Kabong, Dewan Masyarakat Kabong, Masjid Daerah Kabong dan Anjung Usahawan dapat dilaksanakan.

Tegasnya, walaupun empat projek tersebut telah mendapat kelulusan, namun, ia belum lagi bermula dan rakyat di Kabong menunggu untuk melihat projek itu siap dan menjadi kenyataan.

Turut disuarakan masalah liputan Internet di kawasannya kerana penduduk khasnya pelajar, guru serta usahawan dalam talian memerlukan liputan internet bagi menjalankan aktiviti seharian.

Suara Sarawak