Abang Johari dalam sesi Program Randau Belia Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini. Foto: UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan untuk mengkaji semula elaun yang diberikan kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) untuk membincangkan perkara tersebut.

Katanya, Sarawak mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk mewujudkan sistem pemberian elaun kepada guru Kafa dan guru terlatih menerusi institusi yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Jadi sama-sama kita berdoa agar dana Sarawak bertambah supaya dapat menambah elaun daripada Kerajaan Persekutuan kepada guru Kafa.

“Saya akan kaji bersama-sama dengan Jais bagaimana kita boleh menambahkan sikit elaun sebagai satu ganjaran daripada sistem perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Program Randau Belia Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Terdapat kira-kira 35,000 guru Kafa di seluruh negara masih dibayar elaun serendah RM1,000 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mendidik anak-anak menjadi Islam sejati dan insan syumul.

Suara Sarawak