PADAWAN: Kampung Mambong dan kampung sekitar akan menikmati pembangunan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang kerusi Parlimen Puncak Borneo.

Calan GPS Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, ia melalui peruntukan Kerajaan Sarawak menerusi Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil termasuk dirinya sendiri sekiranya dipilih Ahli Parlimen sekali lagi.

Justeru, beliau menuntut kerjasama dari pengundi Bidayuh Bisitang untuk terus memberi sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

BERI SOKONGAN….Jerip menyeru pengundi di Kampung Mambong agar memberi sokongan kepada Willie.

“Apabila kita menang, kita dapat membawa pembangunan ke Kampung Mambong, parit-parit, jalan raya dan jalan pertanian juga dibina.

“Sungguhpun begitu, ia belum mencukupi. Banyak lagi yang perlu dilakukan, jadi berikan sokongan penuh kepada GPS,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Mambong, di sini hari ini.

Majlis dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan (Darat dan Udara) merangkap Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil dan Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong Datuk Detta Samen.

Dalam pada itu, Willie turut menyeru momentum sokongan terhadapnya diteruskan sehingga 19 November nanti.

“Momentum kemenangan GPS di Dun Mambong pada PRN lepas harus diteruskan lagi untuk Parlimen Puncak Borneo agar pembangunan dapat dibawa ke kawasan Bisitang,” katanya.

Suara Sarawak