Pasukan petugas keselamatan membantu mangsa kemalangan di Munggu Tapang, petang Sabtu.

SRI AMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas kereta Produa Alza dinaikinya terlibat dalam kemalangan kendiri di Munggu Tapang Bukit Bangunan, di sini, petang Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata, tiga lagi mangsa dipercayai anggota keluarga mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu.

Katanya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.15 petang.

“Sebaik tiba, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian.

“Pemandu kenderaan tersebut mengalami cedera ringan, manakala seorang anak mangsa yang berumur sembilan tahun tidak sedarkan diri dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, ibu mangsa dan seorang lagi anaknya berumur enam tahun yang selamat dikejarkan ke klinik Pantu untuk rawatan susulan.

“Pasukan bomba hanya memantau dan mendapatkan maklumat di lokasi kejadian.Setelah keadaan terkawal dan selamat pasukan berangkat balik ke balai dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.32 petang,” katanya.

Suara Sarawak