Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Naib Presiden PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menerima permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Karim berkata apabila seseorang sudah datang dengan tangan yang bersih dan gerak isyarat yang baik, sudah tentu GPS tidak boleh mengatakan tidak.

“Apatah lagi beliau datang dari parti besar, untuk pergi ke Sarawak dan berjumpa Premier kita, ia sesuatu yang sangat baik isyarat semacam itu akan sangat membantu untuk membina semula hubungan yang berlaku sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, bagi mengulas permohonan maaf Anthony Loke mewakili parti DAP kepada kerajaan dan rakyat Sarawak sebelum ini.

Jelas Karim yang juga Adun Asajaya, permohonan maaf yang diikuti Pengerusi DAP Lim Guan Eng itu juga sesuatu yang baik ekoran daripada komen beliau yang mendatangkan kemarahan rakyat Sarawak sebelum ini.

Lim Guan Eng sebelum ini katanya banyak menimbulkan ketegangan dan kemarahan orang Sarawak yang menyatakan negeri ini bankrap dan tidak pandai mengurus negeri.

“Perkara seperti itu membuatkan rakyat marah. Tetapi beliau (Guan Eng) juga mengemukakan kenyataan untuk memohon maaf, yang merupakan sesuatu yang sangat baik.

“Justeru saya yakin bahawa Premier Sarawak juga akan menerimanya dengan baik” ujarnya.

Anthony Loke hari ini menyatakan beliau mewakili parti DAP memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak yang tersinggung dengan mana-mana kenyataan oleh pemimpin parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg yang turut disertai oleh Timbalan Premier, Prof. Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Tambah Anthony Loke, beliau berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

Suara Sarawak