KUCHING: Pusat penjaja peniaga kecil di Jalan Astana akan disusun atur dan ditambah baik dalam usaha mengindahkan suasana di sekitar pusat jual beli tersebut.

Penyandang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), peniaga dan pihak polis.

Usaha itu katanya, sebagai galakan kepada sosioekonomi golongan B40 di kawasan Astana berjalan dengan lebih lancar di samping mengatasi kesesakan lalu lintas.

MESRA… Fadillah (hadapan) mengunjungi salah sebuah kedai penjaja di Jalan Astana.

“Kita akan melihat apakah perancangan masa depan yang perlu dibuat tapi apa yang penting memberi kesedaran dari sudut kesihatan dan kebersihan kepada para peniaga.

“Jadi, kita akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk menyusun atur supaya ia teratur, tersusun dan lebih indah untuk masyarakat berbeli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui melakukan lawatan pusat-pusat penjaja di Jalan Astana, di sini hari ini.

Dedahnya, usaha untuk menempatkan mereka ke kawasan perniagaan yang lebih luas dahulu iaitu berhampiran Plaza Mara sudah dilaksanakan namun tidak mendapat persetujuan daripada majoriti para peniaga.

Hal ini kerana katanya, para peniaga di sini lebih gembira dan memilih untuk berniaga di kawasan sekitar rumah sahaja.

Suara Sarawak