PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen suci malah memberi mesej dalam – jika tiada MA63, tiadalah Malaysia.

Maka tiada siapa harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

Ini kerana di bawah MA63, Sabah dan Sarawak merupakan rakan sekutu bekas Persekutuan Tanah Melayu, tetapi kedudukan ini telah terhakis.

Perjuangan menuntutnya tidak mudah kerana memperoleh kemenangan bererti memberi pengiktirafan kepada semangat kesatuan negara antara Sarawak dengan Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Sarawak meminda Perlembagaan dan mengembalikan status negeri ini sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

Susulan itu, pada September Sarawak berjaya mendapatkan semula status sama rata Persekutuan Malaysia di bawah MA63 dan kini masih menuntut tiga daripada 13 tuntutan yang termaktub dalam perjanjian daripada Kerajaan Persekutuan.

Malah Kerajaan Sarawak secara beransur-ansur, secara sistematik mendapatkan semula hak milik negeri ini termasuk pengenaan cukai jualan minyak dan gas yang merupakan salah satu tuntutan penting bagi rakyat Sarawak.

Baki tuntutan yang masih diteruskan antaranya agihan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan formula agihan seperti yang dituntut.

Keduanya, pentadbiran dari sudut Mahkamah UndangUndang Sarawak kerana dahulu Sarawak mempunyai Mahkamah Tinggi Borneo, maka perkara itu perlu dirujuk ke dalam perundangan Sarawak. Tuntutan ini penting dari sudut perundangan dan perlembagaan yang mungkin menentukan masa depan Sarawak pada masa depan.

Tuntutan ketiga adalah pengiktirafan jabatan teknikal yang harus diiktiraf sebagai jabatan yang akan melaksanakan projek daripada Kerajaan Persekutuan di Sarawak. Semua tuntutan itu membuktikan usaha gagah kerajaan memerintah Gabungan Parti Sarawak yang berjuang tanpa gentar bagi menuntut hak di peringkat negeri.

Bahkan dengan berani GPS mengisytiharkan Sarawak Didahulukan yang menjadi mantera perjuangan demi rakyat Sarawak.

Figura yang bertanggungjawab menjadikan impian Sarawak meraihkan kemenangan MA63 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahli politik berjiwa besar ini dan sentiasa meletakkan kepentingan negeri Sarawak dalam perjuangannya.

Beliau membuktikan beberapa usahanya mengubah sistem kehakiman dan perundangan negara, termasuk melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bersandarkan semangat MA63.

Katanya, MA63 sedia satu perjanjian, komitmen serta tuntutan yang dipersetujui semua pihak semasa pembentukan Malaysia.

“Jika kita baca MA63, kita boleh lihat di situ letaknya janji-janji Persekutuan untuk menarik Sarawak dan Sabah menyertai pembentukan Malaysia,” katanya.

Gerakannya penuh ilham dan idea segar pembangunan diiringi pelaksanaan tuntas dan pantas sehingga kejayaan demi kejayaan berjaya dicapai.

Ini termasuk memperkenalkan Akta Lompat Parti serta membenarkan pendaftaran pilihan raya secara automatik, kepada mereka yang berusia 18 tahun.

Malah Wan Junaidi juga mencipta sejarah apabila berjaya memansuhkan hukuman mati.

Suara Sarawak