DALAM membentuk kerajaan di Malaysia, parti yang bertanding di peringkat Persekutuan perlu memenangi majoriti mudah sebanyak 112 kerusi seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan.

Bagaimanapun, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini menunjukkan tiada parti yang berjaya mencapai angka tersebut, menyebabkan pembentukan kerajaan tergantung.

Berdasarkan pilihan raya tersebut, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mendahului parti-parti lain dengan masing-masing memenangi 82 dan 73 kerusi parlimen.

Jumlah tersebut jelas menunjukkan tiada yang berjaya menang secara dominan, lalu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan rakyat bahawa siapa akan menjadi Perdana Menteri ke-10.

Sekali gus, menggalas tanggungjawab memacu pembangunan masyarakat dan negara serta mentadbir kerajaan Malaysia pada penggal ini.

Disebabkan tiada kata sepakat dalam membentuk Kerajaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan.

Cadangan tersebut pada masa sama akan melantik Perdana Menteri daripada manamana gabungan yang berjaya memenangi kerusi paling banyak berbanding gabungan lain.

Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menurutnya, gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana sudah menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.

Malah, beliau turut menegaskan bahawa untuk tujuan apa-apa sekali pun, pihaknya dan PN tetap tidak bersetuju terhadap cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH.

Kekusutan memilih Perdana Menteri dirungkai, apabila Yang di-Pertuan Agong setelah Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang selesai tengah hari Khamis mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pembentukan kerajaan perpaduan sebenarnya satu langkah yang baik bagi menangani masalah ekonomi, khususnya seperti yang dijangka berlaku pada tahun berikutnya.

Pada masa sama, kerajaan tersebut juga sudah pasti mampu mewujudkan kestabilan dari segi politik dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Selain itu, ia juga dilihat mampu merealisasikan tujuan yang diinginkan dalam menjadikan Malaysia negara harmoni dan makmur, asalkan semua parti berkompromi dan bekerjasama mengukuhkan kestabilan politik.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali dipetik berkata, setiap gabungan mempunyai nilai tambah masing-masing.

“BN lebih memahami kemahuan serta keperluan rakyat secara dekat, manakala PN berkebolehan dalam mengawal aspek integriti dan Islam.

“Sementara, barisan pemimpin yang ada dalam PH pula mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang dan ekonomi,” katanya ringkas.

Sekiranya semua kepakaran ini digabungkan, nescaya rakyat dapat menyaksikan kerajaan perpaduan yang ideal merangkumi setiap aspek yang berkaitan.

Pembentukan kerajaan sangat penting untuk diwujudkan secepat mungkin selepas pilihan raya diadakan agar kestabilan negara dapat dikekalkan.

Suara Sarawak