KUCHING: Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian mengalu-alukan peningkatan dana yang diperuntukkan kepada Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) pada tahun hadapan.

Presidennya Datuk Richard Wee Liang Chat berkata, ia merupakan bukti keprihatinan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan kebajikan penganut agama lain sentiasa terpelihara.

Dengan pertambahan peruntukan ini katanya, ia akan meringankan beban kewangan bagi badan- badan agama di negeri ini.

Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat.

“Akan lebih banyak rumah ibadat menerima bantuan kewangan untuk penyelenggaraan, naik taraf dan pembesaran kuil dan gereja mereka,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa penubuhan Unifor merupakan satu kejayaan besar di bawah GPS selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam mengamalkan dasar keterangkuman semua kaum dan agama di Sarawak.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Sarawak sememangnya berbeza dengan negeri lain dalam soal keharmonian agama,” ujarnya.

Semalam, Abang Johari menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada Unifor pada tahun hadapan sebagai tambahan kepada dana sebelum ini.

Beliau berkata, Unifor meminta agar kerajaan Sarawak menambah peruntukan, jadi ia ditambah dan ditingkatkan kepada RM100 juta untuk 2023.

Sejak 2020 hingga 2022, Kerajaan Sarawak  memperuntukkan RM50 juta kepada Unifor, dan akan menambah RM50 juta lagi menjadikan keseluruhan peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun hadapan.

Suara Sarawak