ANGGOTA bomba ketika memantau kenderaan terbabit.

KANOWIT: Seorang perempuan cedera parah, dua lelaki cedera ringan, manakala lima lagi terselamat dalam kejadian kemalangan kendiri di Rumah Bantan, Kampung Rasan, Pekan Machan petang tadi.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda muatan kelapa sawit yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.36 petang.

Sejurus itu, BBP Kanowit menggerakkan lapan anggota diketuai PBK II Mohamad Bujang dengan sebuah pacuan empat roda ke lokasi kejadian.

“Sampai ke lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Toyota Hilux yang membawa muatan kelapa sawit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

“Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” ujar beliau.

Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Klinik Kesihatan Machan untuk mendapat rawatan susulan.

Suara Sarawak