Datuk Aloysius J. Dris.

KUCHING: Perbezaan pandangan dan ideologi dalam kerajaan boleh menjadi kekuatan untuk menjadikan negara lebih baik, kata Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak Datuk Aloysius J. Dris.

Menurutnya, perbezaan yang dimiliki dapat menampilkan pelbagai pengalaman, pengetahuan dan idea yang berbeza untuk diutarakan demi manfaat rakyat.

“Melihat pengalaman Sarawak sebagai contoh negeri perpaduan dan keharmonian. Sarawak telah menunjukkan bahawa kepelbagaian sememangnya satu kekuatan.

“Meraikan kepelbagaian di sini bukan hanya terhad kepada perayaan, tetapi ia sudah menjadi asas sejak dahulu. untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati dan menerima antara satu sama lain melalui interaksi dan komunikasi.

Katanya, rakyat ingin melihat negara terus maju di bawah Perdana Menteri baharu. Justeru, beliau yakin semua pihak boleh bekerjasama walaupun berbeza pandangan dan ideologi.

“Sudah tentu, ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia mengambil masa beberapa dekad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Saya percaya di bawah Perdana Menteri baharu dan kepimpinannya, kita dapat bersama-sama menjadi negara contoh perpaduan dan harmoni sambil meraikan perbezaan kita,” katanya ringkas.

Suara Sarawak