KUCHING: Kerajaan campuran terdiri daripada pelbagai parti politik mungkin dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seandainya tiada parti mendapat majoriti mudah.

Penganalisis Politik Profesor Dr Neilson Ilan Mersat berkata, ia merupakan hakikat berikutan pelbagai pakatan politik serta parti komponennya bertanding pada pilihan raya ini.

“Ramai meramalkan tiada pemenang jelas yang dimenangi oleh mana-mana gabungan atau parti politik.

Profesor Dr Neilson Ilan Mersat.

“Saya melihat, satu campuran antara parti politik akan diusahakan untuk membuat gabungan,” katanya dalam satu temu bual, hari ini.

Bagaimanapun, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Unimas itu berkata, pembentukan kerajaan campuran itu bergantung kepada mana-mana parti yang tawar-menawar untuk membentuk satu gabungan.

Ditanya mengenai Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menjadi kingmaker dalam pilihan raya ini, Neilson berkata, GPS mempunyai potensi untuk menjadi sedemikian.

Katanya, GPS berkemungkinan besar memenangi sebahagian besar 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, sekali gus mempengaruhi proses pembentukan kerajaan.

“Ya, sekiranya ia dilaksanakan secara betul barulah GPS akan menjadi kingmaker,” jelasnya.

Untuk rekod, sejumlah 112 kerusi Parlimen diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah sementara 148 kerusi untuk memperoleh majoriti dua per tiga.

Suara Sarawak