Gambar hiasanMUKAH: Semua pihak harus memahami dan mengingati kembali layanan Pakatan Harapan (PH) yang pernah menjadi kerajaan selama 22 bulan kepada Sarawak suatu ketika dahulu.

Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Persekutuan jelas berubah pada waktu itu dan banyak projek yang diluluskan untuk Sarawak telah dibatalkan.

Katanya, ada antara ahli parlimen PH di Sarawak yang dilantik menjadi menteri penuh dan timbalan menteri iaitu Baru Bian dan Chong Chieng Jen gagal melaksanakan tugas untuk Sarawak.

“Projek untuk jalan raya, Jambatan Igan, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Kemena di Bintulu dan sebagainya tidak diluluskan.

“Maka dalam PRU-15 kali ini, kita perlu berhati-hati kerana kini mereka mahu kembali. Oleh itu, kita mahu suara kita di parlimen perlu kuat demi kepentingan masa depan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negri (KTN) – (Pertanian) Bagi Kawasan Jalan Matadeng Selangau (Area 1) Dan Penyerahan Lesen Pendudukan Sementara SPK Kuala Balinguan di Kingwood Resort, hari ini.

Beliau turut berharap GPS pada kali ini mencapai kemenangan yang besar sekali gus memastikan perjuangan Sarawak untuk mendapatkan hak-hak Sarawak yang terhakis menjadi lebih mudah.

“Sebelum pembubaran Dewan Rakyat, Ahli Parlimen GPS cuma mempunyai 18 orang tetapi kita berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan untuk meminda Perlembagaan dengan mengambil kira semangat yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Antara Kerajaan (Laporan ICG).

“Semasa PH menjadi kerajaan, mereka juga mengusulkan perkara yang sama namun ia cuma bersifat kosmetik dan tidak bersifat MA63 untuk hak Sarawak.

“Penyandang kita Datuk Hanifah Hajar Taib bagi Parlimen Mukah sebelum ini juga pernah menjadi Timbalan Menteri dan beliau melihat semua apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita lihat lihat banyak kejayaan telah dicapai. Bagaimanapun masih banyak yang perlu kita usahakan dan belum dimuktamadkan,” tegasnya.

Suara Sarawak