KUCHING: Lembaga pengurusan sekolah bantuan Cina boleh sentiasa mengajukan apa-apa masalah yang dihadapi mereka kepada Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia untuk mendengar dan memainkan peranan dalam mencari penyelesaian kepada mereka.

“Kerajaan GPS di bawah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai dasar yang sangat inklusif.

Uggah (kiri) bersama-sama Chai (tengah) dan tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian majlis makan malam tahunan lapan sekolah bantuan Cina di Bahagian Betong, semalam.

“Beliau sentiasa bersedia membantu semua kaum,” katanya pada majlis makan malam tahunan lapan sekolah bantuan Cina di Bahagian Betong, semalam.

Uggah menambah Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai kepentingan sekolah bantuan Cina kerana ramai pelajarnya juga adalah bumiputera.

“Oleh itu kami melihat perkembangan mereka sebagai tanggungjawab kami juga,” katanya.

Menurutnya pada 2021, Kerajaan Sarawak telah menyumbang geran sebanyak RM10 juta kepada sekolah-sekolah Cina di seluruh Sarawak.

“Tahun ini saya difahamkan jumlahnya RM12 juta,” katanya.

Turut hadir calon GPS di Parlimen Betong Dr. Richard Rapu dan Guru Besar SJK(C) Debak selaku pengerusi penganjur majlis, Chai Siao Wen.

Suara Sarawak