HARI ini merupakan hari keempat kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dengan tempoh 10 hari lagi, calon dan parti yang bertanding pasti meningkatkan lagi ‘gear’ masing-masing, bagi memastikan undi menyebelahi mereka pada 19 November nanti.

Sebagaimana tradisi, setiap pilihan raya menjanjikan sesuatu yang menggentarkan bagi calon yang bertanding, lebih-lebih lagi muka baharu yang pertama kali beraksi di gelanggang yang cukup besar.

Malah calon berpengalaman, yang menang bergaya pada dua PRU lalu pun, tetap risau, resah dan kurang tidur, apatah lagi dengan kemunculan generasi pengundi baharu, Undi 18, yang sukar diramal.

Salah seorang calon veteran menjelaskan bahawa;
“Dalam mana-mana pilihan raya… perlu ada rasa gementar dan risau. Ia penting agar calon atau parti lebih bersedia, dan membuat persiapan yang cukup rapi bagi memastikan kemenangan dalam genggaman.

“Tidak boleh ambil mudah, kena kerja keras, apatah lagi PRU kali ini, lain macam, terutama di Semenanjung.

Namun kami sudah pun bersedia sejak dua tahun lalu, cuma ia perlu terus diperkasakan menjelang saat-saat akhir,” katanya.

Sambungnya lagi, sejarah mengajar kita untuk tidak lalai, dan sejarah juga telah membuktikan sebuah parti kuat yang lebih separuh abad berkuasa, boleh tumbang, jadi kita harus sentiasa berwaspada.

“Jangan ambil ringan, dan jangan pandang remeh setiap lawan kita.

Buang ego jauh-jauh. Gunakan peluang dan kesempatan dengan baik untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Oleh itu tempoh berkempen akan dimanfaatkan sebaik mungkin, dengan manifesto sebagai senjata penting untuk memancing undi.

Bagi pengundi, mungkin tidak sukar untuk menilai manifesto, dan ia banyak bergantung kepada parti dan rekod silam, sama ada ia biasa ditepati atau pernah dimungkiri.

Realitinya manifesto yang baik mempunyai ketelitian, kesinambungan, misi dan visi yang jelas dan diterima akal.

Malah manifesto yang baik dan jujur akan diolah secara terancang dan terperinci, sesuai dan seiring dengan konteks semasa, penuh dengan informasi yang mudah difahami dan diingati.

Dan yang lebih penting mesti ditepati.

Dalam hal ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadikan lima tonggak sebagai kekuatan dalam manifestonya.

Dengan satu hala tuju, menawarkan lima tonggak utama, mencakupi 25 teras dan 215 komitmen, dengan satu matlamat membawa Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030.

Antara fokus manifesto bertemakan “Menjamin Sarawak Stabil, Maju dan Makmur” itu, ialah memastikan kestabilan dan kekuatan politik Sarawak.

“Kita mahu menjamin dan mempertahankan hak rakyat Sarawak, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan Sarawak,” ujar Premier merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pelancaran manifesto GPS baru-baru ini.

Ia adalah tawaran manifesto yang menyeluruh, inklusif berpaksikan kepentingan rakyat dan mengutamakan masa depan negara.

Semua golongan diberi perhatian dalam manifesto ini – golongan B40, M40, golongan muda, pelajar, wanita, kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, penjawat awam, mereka di bandar, pinggir bandar, luar bandar mahupun pedalaman.

Ia adalah untuk jaminan kestabilan dan kekuatan politik Sarawak serta mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Yang pasti, GPS telah berjaya meletakkan diri, sebagai sebuah gabungan yang mengutamakan Sarawak iaitu memperjuangkan segala kepentingan rakyat tempatan, di tengah-tengah kemelut politik negara yang belum menemui titik noktah.

Dengan pendapatan lebih RM10 bilion setahun, GPS mempunyai sumber kewangan kukuh untuk terus mentransformasikan ekonomi Sarawak, serta melonjakkan pembangunan secara menyeluruh.

Dasar inklusif akan terus dilaksanakan, kebebasan beragama, adat resam, budaya dan seni warisan demi keharmonian sosial yang mewujudkan masyarakat pelbagai kaum yang harmoni dan bersatu padu di bawah payung Bumi Kenyalang.

Setelah cemerlang pada PRN-12, dengan menyapu 76 kemenangan daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, sebagai rekod kemenangan terbesar dalam sejarah PRN Sarawak, GPS mengintai kesemua 31 kerusi pada PRU-15.

Jika mengambil kira ayunan undi pengundi pada PRN-12, ia tidak mustahil untuk dicapai. Namun jika GPS mampu menawan sekitar 26 kerusi, ia sudah cukup bagus, jika mengambil kira pencapaian pada PRU-14, meraih 19 kerusi, dan tewas di 12 kerusi.

Kita akui senario menjelang PRU-14 dan PRU-15 amat berbeza… dan ia kelihatan berpihak kepada parti pemerintah, lebih-lebih lagi di Sarawak ini.

Malah PRN-12 dan PRN di Melaka, dan Johor mahupun Sabah, membuktikan pengundi memilih kerajaan yang stabil.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, rakyat lebih memikirkan tentang negara yang stabil dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi.

Rakyat sedar bahawa, kehidupan mereka yang terjejas sepanjang pandemik sejak 18 Mac 2020 hingga awal tahun ini, amat memerlukan bantuan, dan mereka menyedari bahawa ia akan menjadi lebih mudah melalui kerajaan stabil, berpengalaman dan prihatin untuk membela nasib mereka.

Ia bermakna, pilihan mereka lebih ke arah dasar kepemimpinan yang sentiasa berpegang kepada prinsip rakyat didahulukan, bukannya dasar kepemimpinan yang berunsurkan kepentingan peribadi, serta janji yang gagal ditepati seperti yang berlaku pada PRU-14.

Adalah penting supaya setiap janji manifesto dipenuhi tanpa sebarang alasan, sebaik menang pada 19 November nanti.

Ahli politik diikat pada janjinya. Jika kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada kata-katanya.

Suara Sarawak