KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan kerjasama antara parti itu dengan DAP.

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini pihaknya belum mengetahui tentang perkara itu.

“Terpulang kepada Perdana Menteri.. anda tidak boleh bertanya kepada saya kerana saya tidak tahu. Jika anda tanya mengenai kerajaan negeri ini, baru saya boleh menjawabnya,” katanya.

Abang Johari Tun Openg ketika bercakap dalam sidang media, di ibu pejabat PBB, hari ini

Premier Sarawak itu berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah GPS akan memberikan kerjasama jika ditakdirkan kedua-dua parti (GPS-DAP) ini diletakkan dalam kabinet kerajaan persekutuan, Abang Johari berkata buat masa ini perkara itu belum berlaku.

Terdahulu, Anthony Loke mewakili parti DAP memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak yang tersinggung dengan mana-mana kenyataan oleh pemimpin parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, perkara tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg yang turut disertai oleh Timbalan Premier, Prof. Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Tambah Anthony Loke, beliau berharap pertemuan itu akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

Suara Sarawak