RAKAM KENANGAN…Abang Johari (lima kiri) dan Awang Tengah (empat kiri) merakam gambar kenangan pada Majlis Makan Malam Jubli Platinum ke-70 SCCI.

KUCHING: Sektor swasta harus terlibat sepenuhnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penglibatan sektor perniagaan dalam pelaburan projek di Sarawak adalah kunci untuk merealisasikan negeri ini sebagai ekonomi membangun.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertingkatkan usaha untuk mempromosikan keusahawanan dan pelaburan dalam kalangan rakyat yang ingin membangunkan dan melaksanakan projek mereka.

“Dalam perkara ini, Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI) memainkan peranan penting dalam koordinasi hubungan antara komuniti perniagaan dan Kerajaan Sarawak dalam kita bekerjasama menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Platinum ke-70 SCCI, di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta kenamaan yang lain.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, sementara Kerajaan Sarawak komited untuk membangunkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi.

Suara Sarawak