KUCHING: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung kematian tiga sekeluarga dalam kejadian kebakaran sebuah rumah banglo di Lorong Tongkeng, Kampung Gita di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, satu kertas siasatan iaitu siasatan mati mengejut telah dibuka untuk kes tersebut.

Katanya, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian kira-kira 7.33 malam semalam.

Kebakaran banglo di Lorong Tongkeng, Kampung Gita kira-kira jam 7.30 malam meragut tiga nyawa.

“Pihak polis mengesahkan dalam tragedi ini, seramai tiga mangsa meninggal di tempat kejadian.

“Mangsa termasuk seorang lelaki, pesara kerajaan berumur 69 tahun, seorang wanita berumur 35 tahun iaitu anak kepada mangsa pertama dan mangsa ketiga, seorang wanita berumur 28 tahun, cucu kepada mangsa pertama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata, seramai 17 anggota bomba dan jentera serta EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Batu Lintang digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan kira-kira jam 7.03 malam.

Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati api telah merebak dari bawah rumah dan naik ke atas rumah.

“Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas pada jam 8.40 malam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa lelaki mengalami melecur di tangan dan kesemua mangsa meninggal dunia dipercayai lemas terhidu asap.

Suara Sarawak