MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri mendedahkan kesesakan teruk yang berlaku dari Jejambat Pujut tiada kaitan dengan pembukaan lampu isyarat di persimpangan Southlake/Vista Perdana.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, JKR Bahagian Miri telah melakukan siasatan rapi dan mendapati kesesakan adalah berpunca daripada kren yang diletakkan secara haram di tepi jalan hingga menghalang lalu lintas.

“Kesesakan lalu lintas tidak berkaitan dengan pengoperasian lampu isyarat persimpangan Southlake/Vista Perdana sebaliknya terdapat kren melakukan kerja-kerja pembaikan paip,” jelasnya ketika melawat tapak projek itu hari ini.

SUDAH BERMULA.. Kim Shin bersama-sama pihak kontraktok meninjau tapak projek laluan masuk ke Vista Perdana yang bermula hari ini.

Adun Senadin itu memberitahu, mengikut pelan pembangunan, laluan berkembar kekal akan dibina apabila projek perumahan baharu Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dimulakan.

Mengikut pelan pembangunan di situ, terdapat sebuah jalan baharu kekal dirancang untuk dibina dengan menghubungkan Vista Perdana dengan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Laluan akses sementara ini telah bermula hari ini (Selasa) dan dijangka selesai sebelum Krismas 2022,” katanya.

Akses sementara itu dicadang dibina di laluan terletak di hujung bangunan rumah kedai Vista Perdana supaya lalu lintas dari persimpangan lampu isyarat boleh bertukar ke Vista Perdana.

Dengan pengoperasian lampu isyarat itu, penduduk Vista Perdana tidak perlu lagi menempuh perjalanan kira-kira empat kilometer untuk membuat pusingan U untuk ke Jejambat Permyjaya.

Sementara itu, beberapa gambar tular yang menyaksikan kesesakan teruk dari atas Jejambat Pujut susulan pengoperasian lampu isyarat berkenaan.

Malahan pengguna jalan raya beranggapan pembinaan lampu isyarat berkenaan akan menambah lagi kesesakan pada waktu puncak berbanding sebelumnya.

Suara Sarawak