LINCAH…Nur Shamie Iszuan Amin (kiri) antara watak utama SU FC musim ini.

KUCHING: Penyerang lincah Sarawak United FC (SU FC), Nur Shamie Iszuan Amin, antara 29 pemain yang turut dipanggil menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan yang akan bermula 29 November ini.

Sesi latihan tersebut merupakan persiapan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon untuk menghadapi Piala Mitsubishi Elektrik AFF 2022.

“Teruja apabila diberi peluang untuk menyertai kem latihan bersama Harimau Malaya.

“Saya akan gunakan peluang ini untuk mempamer apa yang termampu, sekali gus cuba menempatkan diri bersama barisan utama dalam skuad terbabit,” kata Shamie kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Shamie, tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain lain semasa latihan kelak.

“Walaupun ini merupakan pengalamanan baharu bagi diri saya, rasanya tiada masalah untuk menyesuaikan diri semasa latihan kelak,” tambah Shamie lagi.

Suara Sarawak