LEBIH 12 tahun mengajar di sekolah pedalaman Sarawak bagi Cikgu Rubananthan Paramasveran, 35, tiada siapa menyangka dirinya yang dahulunya pernah belajar dalam bidang pentadbiran perniagaan, akhirnya memasuki bidang pendidikan dan jatuh cinta dengan kerjaya guru.

Kini dia mengajar kembali di SK Penghulu Baya Mallang, sekolah pertama dia dipindahkan ke pedalaman Sarawak pada 2012, setelah itu pada 2015 mengajar di SK Long Panai dan akhirnya diminta berkhidmat kembali di SK Penghulu Baya Mallang pada Disember 2022 bagi menanggung tugas (pemangku) Guru Besar di sana.

Kisahnya sebagai guru sempat di kongsinya di laman TikTok, apatah lagi bagi guru pedalaman seperti dirinya, ramai pihak mahu melihat cara dia berkhidmat di sana.

HUBUNGAN ERAT… Rubananthan Paramasveran bersama-sama komuniti di kawasan pedalaman.

Pastinya video saat pelajar mula mendapat tahu dia berpindah ke sekolah lain sehingga ada yang mengalirkan air mata jelas menujukkan ikatan Ruben dengan pelajar sangat akrab.

“Sebenarnya ramai salah faham menyangka saya dah dipindah ke Semenanjung, saya hanya ditempatkan semula ke sekolah lain atas keperluan perkhidmatan saja iaitu di SK Penghulu Baya Mallang, berbanding SK Long Panai, saya kini perlu menaiki bot sejam ke sana,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Kesayangan murid pedalaman

Anak jati dari Kuala Kubu Bhari, Selangor ini bukanlah lepasan Ijazah Pendidikan, sebaliknya dia mengambil Ijazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan berhubung Kewangan dia Universiti Putra Malaysia (UPM) sehinggalah dia mula bekerja sebagai Rakan Penyelidik di dalam sebuah firma di Mont Kiara.

” Saya cuba melompat ke firma lain, tapi ia tidak berakhir dengan baik, maka saya menganggur sementara, sehingga peluang untuk menjadi guru ganti di SJK (T) Bukit Beruntung.

Percayalah sebelum ini saya tidak pernah menyangka saya akan mengajar… tidak pernah terlintas di fikiran.

RUBEN menggayakan pakaian tradisional bersama-sama anak muridnya.

“Jadi saya mengambil peluang itu dan jatuh cinta mengajar terutama kanak-kanak.

Kemudian saya memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Johor, Institut Pengajian Perguruan (IPG) Tun Hussein Onn dan menyertai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2012.

Terkejut dan teruja

Kali pertama tiba di Baram, dia agak terkejut dan teruja menggunakan jalan balak, menaiki feri, menaiki perahu dan pelbagai pengangkutan digunakan untuk sampai ke sekolah.

“Sebelum itu saya memang tidak pernah naik pacuan empat roda dan bot, saya duduk dalam bot seperti patung sebab risau jatuh kerana saya tidak pandai berenang.

“Belum lagi setiap kali ternampak kayu hanyut, saya memang terkejut ingatkan buaya.

“Sekolah pula masa itu tiada capaian Internet dan sumber air kami gunakan air sungai dan takungan air hujan.

“Selain kedua-dua sekolah ini pula selalu mengalami banjir hampir setiap bulan.

Semua cabaran ini buatkan diri saya lebih teruja.

“Saya selalu fikir kalau orang di sini boleh hidup dalam keadaan seperti itu, kenapa tidak saya?

Penduduk kampung sangat baik, mereka layan kita seperti keluarga, saya akui untuk membina kepercayaan memerlukan masa, tetapi apabila anda memperolehnya anda dilayan seperti keluarga di sini,”jelasnya lagi.

Disambut mesra

Mengimbau kembali pertama kali dihantar ke Kampung Long Terawan, kaum Berawan Tering berkenaan, Ruben menjelaskan masyarakat di sana sangat pandai meraikan tetamu atau orang luar.

“Mereka sentiasa menyediakan makanan dan minuman untuk tetamu.

“Orang Berawan terkenal dengan sikap keberanian, wajah mereka kelihatan garang, tapi mesra apabila sudah bergaul.

MAKAN BERSAMA… Ruben juga menjemput pelajarnya untuk menjamu selera di rumahnya jika berkelapangan.

“Kampung yang kedua iaitu Long Panai masyarakat Kayan, kampung ini ramai penduduk berbanding dengan Long Terawan.

Kalau boleh bahasa Kayan saya boleh faham sikit-sikit perkataan asas,” katanya.

Pengalaman lucu

Ruben turut sempat berkongsikan pengalaman lucunya apabila terdapat salah faham berlaku menyebabkan ramai pelajar ketakutan.

Dalam kalangan pelajar, ada yang pertama kali melihat Ruben yang juga dari kaum India, namun kini perhubungan mereka lebih akrab.

“Kali pertama saya dihantar ke sini ada ura-ura penduduk kampung mengatakan ada penculik kanak-kanak mahu memenggal kepala untuk ritual kukuhkan jambatan.

“Bayangkan apabila saya sampai pada petang itu, seorang budak menjerit penyamun sambil berlari, budak-budak lain pun takut terikut dia berlari.

“Sehinggakan keesokan harinya ada yang takut untuk datang ke sekolah.

Apabila mereka berjumpa saya di sekolah, mereka pun senyap, bercakap pun takut,” katanya.

Tambahnya, kumpulan yang ada dalam video TikTok miliknya merupakan pelajar SK Long Panai.

“Saya sudah lapan tahun berkhidmat di sana, dari mereka prasekolah sampai tahun enam.

“Sekolah berkenaan dikategorikan sebagai Sekolah kurang murid, tetapi kebanyakan memang dengan kami.

Pagi selepas sekolah, kami berjumpa untuk kelas tambahan, kalau tidak berjumpa untuk latihan sukan.

“Kebanyakan masa mereka bersama-sama guru, ikatan hubungan kami sangat kuat, senang cerita mereka dah macam anak saya.

Sebab itu saya tidak beritahu yang saya dipindahkan ke sekolah lain.

Apabila pelajar tahu dah tahu, setiap hari sebelum berpindah, ada drama air mata dari budak-budak ini,”jelasnya.

Biarpun jauh di pedalaman Ruben tetap berkongsikan video pengalamannya dia TikTok agar masyarakat lebih mengenali peranannya sebagai guru pedalaman dalam mencurahkan ilmu pendidikan kepada anak bangsa.

Bahkan, biarpun berbeza latar belakang dan warna kulit, Ruben merupakan contoh jelas bahawa perbezaan yang jelas bahawa diri baik fizikal atau dalaman, bukan penghalang untuk memberi khidmat bakti kepada anak di pedalaman.

Ia secara tidak langsung mempelajari dan memahami budaya yang pelbagai di Sarawak.

Suara Sarawak