KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen tidak sepatutnya menghasut rakyat untuk menyokong mereka memandangkan mempunyai prestasi buruk ketika menjadi Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan.

Lebih memalukan, tindakan calon DAP di kerusi Parlimen Stampin itu dilihat tidak yakin untuk memenangi kerusi parlimen yang ditandingi oleh calon-calon PH di negeri ini.

Sekali gus, ibarat kenyataan putus asa yang tidak mempercayai diri sendiri, demikian ditegaskan Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang yang menempelak kenyataan Chong, hari ini.

IDRIS BUANG

Pada Selasa, Chong menyeru rakyat Sarawak membantu mereka memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi menyediakan semak dan imbang yang kukuh di negeri ini.

Menurut Idris, tindakan Chong itu merupakan hasutan yang menghina kebijaksanaan pengundi Sarawak.

“Ini jelas menghina dan manifestasi mentaliti PH yang mementingkan diri sendiri.

“Sedangkan ketika 22 bulan mentadbir negara, PH ternyata gagal. Mereka telah gagal memenuhi banyak janji kerana menganggap manifesto bukan janji – bukan kitab suci.

“Mereka gagal memberi khidmat terbaik untuk Sarawak dengan banyak projek pembangunan ditangguh atau dibatalkan.

“Tolong jangan dengar serigala menangis. Tambahan pula, Chong dan DAP kekurangan kredibiliti untuk bercakap tentang perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) – apa yang ada perubahan kosmetik pada Perlembagaan Persekutuan sebagai usaha menarik perhatian rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jika rakyat masih ingat kata Idris lagi, PH menghina rakyat Malaysia terutamanya B40, dengan pemberian e-Dompet RM30 seolah-olah tidak mempunyai idea yang lebih baik.

“Mereka juga menghina Sarawak dengan dakwaan akan muflis dalam tempoh tiga tahun, namun yang berlaku adalah sebaliknya,” ujarnya.

GPS tegasnya lagi, sangat menghormati setiap undian rakyat.

“Kami menghargai sokongan padu semua pengundi Sarawak dan menganggapnya sebagai isyarat perpaduan dan kesatuan matlamat bahawa GPS adalah satu-satunya parti yang berkebolehan, bertanggungjawab dan boleh membawa kemajuan yang diperlukan rakyat,’ ujarnya.

Justeru, Idris menggesa pengundi di negeri ini kekal rasional dalam memilih parti yang terbaik untuk mereka.

“Rakyat Sarawak sepatutnya lebih mengenali siapa DAP. Kita dengan rendah hati menggesa semua pengundi untuk keluar mengundi GPS,” tegasnya.

Suara Sarawak