OLEH | TARANI LANTING
suarasarawak.news@gmail.com

SIBU: The Aqhill’s Cocktail yang beroperasi di Jalan Sukun, Upper Lanang di sini, menawarkan koktel buah yang enak.

Pengusahanya, Amzila Kidni, 31, ingin membuktikan bahawa suri rumah juga mampu menjana pendapatan walaupun berniaga secara kecil-kecilan.

Amzila yang lebih mesra dipanggil Fify mula berniaga koktel buah selepas melihat potensi perniagaan itu.

“Sebelum menjalankan perniagaan ini saya selalu membuat koktel buah untuk dihidangkan semasa sambutan hari jadi anak-anak saya.

“Bermula itu, tercetus idea untuk menjual koktel buah selepas melihat ramai yang gemar pencuci mulut ini.

“Akhirnya, berkat sokongan daripada suami dan orang terdekat mendorong saya membuka sebuah gerai koktel buah sempena nama terakhir ketiga-tiga anak lelaki saya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Koktel buah merupakan hidangan pencuci mulut yang dihasilkan daripada buah-buahan campuran yang dipotong kecil dan dicampurkan dengan susu.

Antara buah yang ditawarkan oleh The Aqhill’s Cocktail termasuk buah naga, tembikai, betik, epal serta bahan-bahan lain seperti selasih, jeli dan cincau.

Koktel buah yang ditawarkan RM12 untuk satu bekas yang padat dengan pelbagai jenis buah-buahan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, setakat ini semua koktel buah yang dijual pada setiap hari habis dibeli oleh pelanggan.

“Walaupun perniagaan saya baru beroperasi selama empat minggu tetapi sambutan daripada pelanggan begitu memuaskan.

“Selain koktel biasa, saya juga menawarkan koktel istimewa yang ditambah dengan aiskrim vanila pada harga RM13.

Saya menjual koktel buah ini pada harga mampu milik agar semua mampu untuk merasanya,” ujarnya. Mengulas lokasi berniaga, Fify berkata lokasinya itu berdekatan dengan tempat suaminya bekerja.

“Saya menjalankan perniagaan The Aqhill’s Cocktail di hadapan syarikat tempat suami saya bekerja.

Selain itu, saya memilih lokasi tersebut kerana berhampiran dengan rumah.

“Untuk makluman, perniagaan saya hanya beroperasi pada Ahad sahaja, bermula 12.30 tengah hari sehingga buah habis dijual,” katanya.

Jelasnya, kekurangan buah-buahan segar merupakan antara cabaran bagi Fify semasa berniaga koktel buah.

“Kekurangan buah selalu berlaku apabila kehadiran pelanggan yang ramai di luar jangkaan saya dan suami.

“Selain itu, kenaikan harga barang juga menjadi salah satu cabaran berniaga koktel buah ini,” katanya ketika mengakhiri perbualan.

Suara Sarawak