BERUCAP… Abang Johari berucap pada Program Randau Belia Islam bersama Premier Sarawak di Dewan kompleks Islam di sini, hari ini. Foto: UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM200 juta untuk pembinaan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air, di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan kampus baharu tersebut akan dilaksanakan bermula tahun hadapan.

“Pembinaan kampus ini juga adalah untuk menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira kaum.

“Kita memilih kawasan Trombol kerana ia adalah untuk pelajar negeri ini, selain lokasinya di tepi laut. Kita juga hendak berseronok sikit-sikit dengan angin laut, kalau belajar sahaja mungkin akan bosan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Randau Belia Islam bersama Premier Sarawak Abang Johari di Dewan kompleks Islam, di sini, hari ini.

Tambahnya, kos pembinaan kampus baharu itu ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak yang memiliki pendapatan sendiri untuk membangunkan negeri ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha; Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin; Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Khalidi Ibrahim, dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datuk Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.

Suara Sarawak