KUCHING: “Pohon maaf sekiranya ada salah silap,” menjadi status terakhir yang ditulis Aneeqa Affandi sekitar jam 2 pagi beberapa hari lalu, bagaikan petanda dia mahu pergi buat selama-lamanya.

Aneeqa, 35 tahun, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di salah sebuah hotel butik di bandar raya ini maut dipercayai lemas setelah rumahnya terbakar dalam kejadian di Jalan Bunga Tongkeng, Kampung Gita di sini.

Turut maut, bapanya, Affandi Keli, 68 tahun, bekas Setiausaha Tetap di beberapa kementerian di negeri ini, termasuk seorang lagi mangsa merupakan anak saudara Aneeqa, Nor Hasyidah Ajis, 22 tahun.

Wan Edruce

Dalam insiden tragis itu, ketiga-tiga mangsa sukar untuk menyelamatkan diri setelah api marak di tingkat bawah banglo dua setengah tingkat itu dengan cepat.

Rakan Aneeqa, Wan Edruce Abdul Hamid, 28 tahun, memberitahu, beliau menerima panggilan video daripada mangsa yang mengatakan rumahnya sedang terbakar sambil meluru ke bahagian atas rumah tersebut.

“Aneeqa sempat memberitahu api berpunca dari (tingkat) bawah rumah dan merebak dengan cepat, menyebabkan dia tanpa berfikir panjang dan panik, berlari ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Mayat ketiga-tiga mangsa yang masih sempurna dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Suara Sarawak