KUCHING: Apa yang berlaku di Parlimen Puncak Borneo, Saratok, Julau, Miri dan Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar dijadikan panduan dan iktibar, kata penganalisis politik Prof. Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Katanya dalam konteks Datuk Willie Mongin di Parlimen Puncak Borneo dan Datuk Ali Biju di Parlimen Saratok misalnya, telah membuktikan bahawa kriteria calon merupakan pilihan pengundi.

Menjelas lanjut, beliau berkata Willie yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14 sekali lagi dipilih oleh pengundi biarpun pada kali ini mewakili GPS.

Begitu juga dengan Ali yang mewakili parti luar Sarawak (Bersatu – Perikatan Nasional) namun masih dapat mengekalkan kerusi yang disandang sebelum ini.

Prof. Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman

Katanya biarpun sentimen semasa lebih berkecenderungan kepada parti tempatan namun sokongan pengundi kepada beliau jelas membuktikan sebaliknya boleh berlaku.

“Kredibiliti, karakter dan komitmen yang diharapkan oleh pengundi.

“Mendekati rakyat dan penyokong secara berterusan dan bukan secara bermusim jelas memberikan impak dan kesan yang kuat untuk dijadikan sandaran dan pelajaran berguna kepada semua calon,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Mohd Fadzil menambah pendekatan serupa yang dilaksanakan oleh Datuk Larry Sng di Parlimen Julau, yang ternyata memberi kelebihan kepadanya sehingga berjaya menundukkan Datuk Joseph Salang, yang merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu parti komponen GPS.

Dalam pada itu, beliau berkata kemenangan dengan majoriti kecil calon GPS di Kanowit dan Lubok Antu juga memberi isyarat agar calon-calon yang dipilih itu harus bekerja lebih kuat dan berupaya membawa pembangunan serta kemajuan demi memberikan keyakinan kepada pengundi setempat terhadap mereka dan parti.

“Hanya melalui keyakinan akan dapat menentukan kelangsungan calon dan parti pada PRU akan datang sekiranya inginkan mandat yang berterusan.

“Tempoh lima tahun bukanlah jangka masa yang panjang untuk dilengahkan,” katanya.

Suara Sarawak