BERSEMANGAT….Bintang import Kuching City, Abu Kamara (tengah) semasa sesi latihan.

KUCHING: Pengurus Kuching City FC (KC FC) Kamaluddkin Akil yakin pemainnya berpeluang mengejutkan Sabah FC pada perlawanan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Jumaat nanti.

Meskipun, tuan rumah kini mempunyai kelebihan satu gol hasil kemenangan (1-0) dicatat pada perlawanan di Kuching minggu lepas.

Ia bukan noktah terhadap perjuangan mereka dalam menghadapi piala berprestij negara itu.

Sebaliknya, Kamaluddin melihat perjuangan anak-anak buahnya belum berakhir kerana masih berbaki tempoh 90 minit untuk pertembungan semula kedua-dua pasukan berkenaan.

“Saya masih yakin Kuching City mampu mengejutkan Sabah FC pada perlawanan kedua nanti.

“Walaupun sedar tugas berat menanti mereka, namun percaya … semangat juang tinggi mengiringi pemain yang diharap menjadi senjata utama untuk mengubah kedudukan sedia ada,” ujar Kamaluddin kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau turut berharap pemain dapat mengekalkan tempo serta corak permainan sebagai mana dipamerkan pada perlawanan di laman sendiri minggu lepas.

Tegas Kamaluddin, jika segala perancangan berjalan lancar, nescaya keputusan positif akan memihak kepada kem kendaliannya.

Suara Sarawak