KUALA LUMPUR: Misi mahukan kemenangan menjadi fokus buat Kuching City FC (KC FC) pada pertemuan dengan Sabah FC aksi suku akhir pertama kempen Piala Malaysia 2022 di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam esok.

Kemenangan dengan lebihan defisit gol amat diperlukan sebagai bekalan turun bagi aksi timbal balik di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 11 November nanti.

Ketua jurulatih Kuching City Irfan Bakti Abu Salim menegaskan, ikrar pemainnya untuk mengharungi tempoh 90 minit malam esok hanya satu, iaitu mahu memastikan kemenangan.

SIAP SEDIA…Pemain Kuching City bersemangat ketika sesi latihan

“Semangat pemain masih lagi berada pada tahap maksima selepas menumpaskan Pulau Pinang tempoh hari dan semua pemain berjanji untuk tampil dengan lebih baik lagi malam esok,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, semua pemain bebas dari sebarang kecedaraan, malah barisan kesebelasan sama kembali dipertaruhkan untuk pertembungan menentang negeri jiran malam esok.

Menurutnya lagi, Sabah FC merupakan antara pasukan terbaik musim ini, dibarisi ramai pemain berpengalaman.

“Saya percaya mereka tidak memberi laluan mudah untuk kami menggapai misi memburu kemenangan sebagaimana diinginkan itu,” tambah Irfan lagi.

Dijangka 15,000 penyokong akan turun ke gelanggang itu bagi memberi sokongan kepada pemain The City Boys malam esok.

Suara Sarawak