KUCHING: Laluan biru Transit Aliran Autonomi (ART) yang meliputi Rembus ke Riveria di sini dijangka akan memulakan perkhidmatan pada suku keempat tahun 2025.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, laluan dan operasi tersebut dijangka dihubungkan dan diperluaskan ke Hikmah Exchange pada suku keempat tahun 2026.

“Seterusnya, laluan merah dari Kuching Sentral ke Pending bakal bermula pada suku keempat 2026. Manakala laluan hijau yang merangkumi Pending ke Damai Central dijangka bermula pada suku keempat 2027.

Datuk Seri Lee Kim Shin

“Sementara Latihan Bukti Konsep (POC) untukART dijadualkan pada suku pertama 2023,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Pengangkutan Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya tender pembinaan Depoh Rembus di bawah fasa satu baru sahaja diberikan kepada Hock Seng Lee Berhad. Projek itu akan dilancarkan tidak lama lagi untuk menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan fizikal projek ART.

Mengulas lanjut, katanya semua projek diberikan melalui tender terbuka, setakat suku kedua tahun ini, tender Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah diberikan kepada EMS Progress Sdn. Bhd pada nilai RM3,088,332.

“Selain itu, pakej sistem satu telah dianugerahkan kepada syarikat usaha sama, EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd, yang terdiri daripada EPR (Kuching) Sdn Bhd, Mobilus Sdn Bhd dan Global Rail Sdn Bhd, pada nilai RM1,425,000,000 termasuk pembekalan kenderaan ART berkuasa hidrogen oleh CRRC Zhuzhou Institute Company Limited dan CIMC-Hexagon Hydrogen Energy Systems Limited,” ujarnya.

Tambahnya, pakej fasa satu tersebut meliputi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembuatan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta penyerahan kenderaan hidrogen (H2V), peralatan depoh dan kenderaan penyelenggaraan (DEMV), pintu platform automatik (APG) serta sistem isyarat dan kawalan (S&CS).

“Pakej sistem dua pula telah dianugerahkan kepada DOM Industries (M) Sdn Bhd dan China Railway Electric Engineering Group Malaysia Sdn Bhd pada nilai RM448,000,000.

“Sistem ini termasuk telekomunikasi; kawalan penyeliaan dan pemerolehan data (SCADA); kutipan tambang automatik (AFC); sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer (CMMS); pusat kawalan operasi (OCC) dan sistem teknologi maklumat (ITS),” jelasnya.

Suara Sarawak