KAPIT: Lebih ramai ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu diberikan jawatan menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan yang akan datang bagi menepati acuan Dasar Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah keanggotaan wakil dari Sarawak dalam jemaah menteri amat penting, agar aspek pembangunan negeri di tanah Borneo ini tidak disisihkan.

ALEXANDER NANTA menyantuni penduduk dalam siri jelajah ‘Ngabas Kapit’ di Rumah Panjang Sylvester Panau, Song, semalam.

Menurutnya, berbekalkan suara empat menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini, misi memperjuangkan pembangunan digalas secermat mungkin.

“Justeru, jika sebelum ini empat menteri penuh dari Sarawak membarisi pemberat timbangan dasar Persekutuan, GPS menyemat iltizam agar angka tersebut dapat digandakan – mungkin enam atau tujuh,” katanya.

ALEXANDER NANTA menyantuni penduduk dalam siri jelajah ‘Ngabas Kapit’ di Rumah Panjang Sylvester Panau, Song, semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata demikian dalam siri jelajah ‘Ngabas Kapit’ di Rumah Panjang Sylvester Panau, Song, semalam.

Dalam kabinet semasa, empat ahli parlimen dari Sarawak menjawat jawatan menteri iaitu terdiri daripada Alexander sendiri serta penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kanan Kerja Raya), penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya) dan penyandang kerusi Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Suara Sarawak