SELAMAT DATANG…Presiden Persatuan Golf Sarawak, Hoan Kee Hock (tengah barisan belakang) bersama Ting Bang Kong ( kiri belakang) dan Datuk Rabeahtul Aloya Abbas ( kanan) semasa sesi bergambar bersama-sama peserta dari Indonesia

MIRI: Piala Premier Sarawak Golf Remaja Antarabangsa Sarawak ke-22 Kejohanan 2022 terus menarik perhatian apabila negara luar turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang akan berlangsung di Eastwood Valley Golf and Country Club bermula 29 November hingga 1 Disember ini.

Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA2017), Hoan Kee Hock berkata, penyertaan kali ini telah melebihi jangkaan pihak persatuan selepas kejohanan turut disambut baik peserta dari luar negara.

Antaranya, Pakistan, India, Thailand, Vietnam, China Taipei, Singapura, Indonesia, Brunei Darulsalam, semenanjung, Sabah dan juga tuan rumah, Sarawak.

“Kita berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan walaupun kali terakhir acara itu diadakan pada tahun 2019 sebelum wabak Covid-19 memaksa kami untuk menangguhkannya sehingga tahun ini.

“Bagi pihak persatuan, kami ingin merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kesinambungan beliau dalam menjayakan majlis ini yang merupakan salah satu kejohanan golf remaja yang popular dalam rantau dunia,” katanya.

Menurut Hoan, seluruh pasukan yang mengambil bahagian akan tiba pada Ahad (27 November) dan akan menjalani pusingan latihan pada 28 November selepas mereka mendaftar  untuk kategori masing-masing.

Tahun ini, acara dibuka kepada pemain golf amatur junior tempatan dan antarabangsa bersaing dalam empat kategori berbeza.

Ia merangkumi kategori A (umur 15 hingga 17 tahun), B (13 hingga 14 tahun), C (12 tahun ke bawah) dan kategori Khas (18 hingga 21 tahun).

Acara ini disokong oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Kreatif Industri dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan dibenarkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kedudukan Golf Amatur Dunia.

Suara Sarawak