ASAJAYA: Seramai lebih 40 peserta tempatan terdiri daripada belia berentap di pentas pertandingan nyanyian ‘Belia Got Talent’ yang berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya, semalam.

Ia menampilkan peserta daripada kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sehingga individu dewasa dari Kampung Asajaya Ulu sehingga ke Kampung Tambirat.

Peserta dari Kampung Asajaya Laut, Awang Irwan Awang Ali, merangkul juara bagi kategori lelaki dengan dendangan lagu bertajuk Bimbang Rumpun Kasih Terbuang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta trofi.

SERAH….Karim (tiga dari kanan) menyerahkan hadiah dan trofi kepada pemenang johan kategori lelaki di pentas Kompleks Sukan Asajaya.

Naib johan kategori lelaki disandang oleh Hasbullah Arshad dari Kampung Jemukan dengan nyanyian lagunya bertajuk Berkorban Apa Saja manakala tempat ketiga dimenangi oleh wakil Kampung Semera, Hadi Aduka dengan nyanyian lagu  Gelora Cintaku.

Bagi kategori wanita pula, lagu Tiada Maaf Bagimu hasil dendangan peserta wakil Kampung Moyan Laut, Saptuyah Abu Bakar menjadi pilihan utama para juri sekali gus merangkul johan bagi kategori wanita dalam pertandingan tersebut.

Diikuti naib johan diungguli oleh Amirah Darus manakala tempat ketiga dimenangi oleh wakil dari Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Asajaya, Natahsha Amira Mohd Ekram.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tersebut bertujuan mencungkil bakat warga belia khususnya warga di kawasan Asajaya.

“Pentas ini memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk mengasah bakat terpendam serta melahirkan belia yang mempunyai bakat dalam bidang seni nyanyian.

“Saya percaya peserta di sini mempunyai keunikan tersendiri dalam bidang seni dan dengan penyertaan sebegini dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk melangkah dengan lebih jauh,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian semalam.

Beliau mengakui dan percaya bakat dan kreativiti belia di Asajaya dapat menonjol dengan lebih baik di peringkat tinggi.

Suara Sarawak